Custom Search
Showing posts with label Dato' K. Show all posts
Showing posts with label Dato' K. Show all posts

Sunday, April 5, 2009

Datuk K nafi beliau dan isteri sertai Pas

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa menafikan khabar angin bahawa beliau dan isterinya penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza Tarudin menyertai Pas.

Sambil menyifatkan bahawa ia hanyalah andaian orang ramai, Khalid atau lebih dikenali dengan panggilan Datuk K berkata khabar angin tersebut mungkin berpunca daripada kunjungannya ke pejabat Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat baru-baru ini.

"Merepek betul, ini semua khabar angin... Saya orang Umno dan menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri kita Datuk Seri Najib Razak," katanya.

Khalid berkata kunjungannya dan isteri ke Pejabat Menteri Besar bertujuan melawat Nik Aziz yang dikhabarkan tidak sihat.

"Pada malam sebelum kunjungan itu, Siti membuat persembahan di Istana Kelantan dan pada malam itu Nik Aziz tidak hadir. Jadi kami bertanyakan seorang pegawai istana mengapa beliau tidak hadir seperti dalam majlis sebelumnya.

"Kami mendapat tahu bahawa beliau tidak sihat jadi kami bercadang untuk melawatnya lebih-lebih kami diberitahu boleh melawat beliau di pejabat," katanya.

Khalid berkata kunjungan hormat mereka ke Pejabat Menteri Besar itu adalah kerana menghormati Nik Aziz yang dianggap sebagai tuan rumah. - Bernama

Thursday, April 2, 2009

Siti Nurhaliza, Dato' K temui Nik Aziz


KOTA BHARU, 2 April ((Hrkh) - Penyanyi nombor satu negara, Dato' Siti Nurhaliza Taruddin hari ini mengunjungi hormat Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat selepas sekian lama menyimpan hasrat bertemu tokoh ulama tersebut.

Ketika ditemui selepas kunjungan itu beliau melahirkan rasa syukur kerana hasrat yang telah lama diidamkan akhirnya menjadi kenyataan.

"Selama ini saya hanya mengenali Tuan Guru melalui media masa sahaja tanpa bertemu secara dekat.

"Alhamdulillah Tuan Guru bersedia menerima kunjungan hormat saya dan suami. Pertemuan ini sebenarnya tiada sesuatu yang istimewa, maksudnya tiada agenda apa-apa.

"Orang kata sepanjang hidup ni nak jugalah bertemu dengan Tuan Guru kerana saya begitu menghormati beliau secara peribadi," ujarnya.

Beliau berkata, Menteri Besar Kelantan seorang yang berpegang pada prinsip serta ajaran agama.

Pertemuan yang diadakan di Pejabat Menteri Besar berlangsung kira-kira setengah jam turut dihadiri suaminya, Dato' Seri Khalid Jiwa atau lebih dikenali dengan panggilan 'Dato' K'.

Siti Nurhaliza yang lebih mesra dengan panggilan 'Siti' mengambil peluang bertemu dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana diundang membuat persembahan pada majlis Sultan Kelantan sempena keputeraan baginda malam tadi.

Sempena kunjungan itu, Siti turut menyampaikan cenderahati kepada Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Menteri Besar juga menyampaikan cenderahati kepada mereka.

Pada pertemuan tersebut Datuk K juga bertanya tentang kesihatan Menteri Besar yang dihidapi sebelum ini.

Sementara itu kakitangan Pejabat Menteri Besar dan pejabat berdekatan turut mengambil peluang bertemu dengan selebriti ternama itu sambil bersalam dan bergambar.
Sumber HarakahDaily