Custom Search
Showing posts with label Rusuhan. Show all posts
Showing posts with label Rusuhan. Show all posts

Friday, April 10, 2009

Kelantan Mungkin Tarik Diri Dari Liga Malaysia

KOTA BAHARU, 10 April (Bernama) -- Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkemungkinan besar menarik diri daripada saingan Liga Malaysia jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap dengan hukuman melarang pasukan itu daripada beraksi di gelanggang sendiri sehingga penghujung musim ini.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa berkata kantung persatuan itu diisi dengan kutipan tiket semata-mata dan sekiranya hukuman Kelantan beraksi di gelanggang berkecuali kekal, persatuan itu dijangka menanggung kerugian mencecah RM2 juta.

"Wang itulah yang digunakan KAFA untuk menampung segala perbelanjaan termasuk pembayaran gaji pemain serta pegawai pasukan berkenaan. Bagi setiap kali perlawanan di gelanggang sendiri, kita mendapat kutipan di antara RM100,000 sehingga RM200,000. Kita akan terlepas kira-kira 15 perlawanan sepanjang musim ini termasuk dua perlawanan persahabatan antarabangsa.

"Jika dihitung, kita akan mengalami kerugian sebanyak RM2 juta, inilah nyawa bagi kita dan jika talian nyawa ini ditarik, kita akan mengalami kesukaran. Mungkin ada pihak yang hendak lihat KAFA mati," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas melawat Muhammad Huzaifah Mohd Noor, 18, pelajar yang buta mata kanan rentetan rusuhan penyokong bola sepak Kelantan di luar Stadium Sultan Muhammed IV dekat sini, malam Selasa lalu. Muhammad Huzaifah kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut melawat pelajar itu di hospital berkenaan.

FAM sebelum ini mendenda KAFA lebih RM100,000 dengan Kelantan dilarang beraksi di Stadium Sultan Muhammad IV sehingga 31 Disember ini ekoran tindakan penyokongnya yang merusuh pada perlawanan separuh akhir Piala FA menentang Negeri Sembilan.

Kelantan tewas 0-1 kepada pasukan pelawat pada perlawanan itu.

Menurut Annuar, KAFA tidak akan merayu kepada FAM tetapi beliau akan memberikan penjelasan lengkap keadaan sebenar yang berlaku pada mesyuarat majlis badan induk itu esok.

"Setakat ini tidak berbangkit soal merayu, FAM sudah membuat keputusan tidak ada lagi perlawanan di Kelantan sehingga 31 Disember ini, tahniahlah kepada FAM kerana cepat membuat keputusan," katanya sambil menjelaskan beliau tidak pernah dipanggil termasuk oleh FAM untuk sebarang kenyataan berhubung kejadian itu sebelum ini sedangkan beliau pada masa itu turut berada di tempat kejadian.

Mengulas mengenai perlawanan Liga Super menentang Selangor di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini, Annuar berkata pemain telah diminta supaya menumpukan perhatian kepada perlawanan tersebut seperti biasa.

"Satu jawatankuasa kerja dengan kerjasama Perbadanan Stadium Nasional telah dibentuk untuk memastikan ia berlangsung dengan baik, ini tuah Kelantan, hilang stadium kecil dapat pula stadium besar," katanya.

Beliau turut menyeru peminat kepada kedua-dua pasukan tersebut supaya hadir beramai-ramai tanpa rasa bimbang dan ragu kemungkinan kekecohan sama berulang.-- BERNAMA

FAM Denda Kafa RM90,000 Kerana Insiden Buruk

PETALING JAYA, 9 April (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendenda Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sebanyak RM90,000 berikutan insiden buruk semasa perlawanan Kelantan menentang Negeri Sembilan pada 31 Mac dan Selasa lepas di Stadium Sultan Mohamad IV di Kota Baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatertib FAM, Kamaruddin Abdullah berkata Kafa telah dipanggil untuk menjawab dua kes berkenaan yang dikenakan ke atas mereka.

"Bagi kes pertama iaitu pada 31 Mac di mana perlawanan Liga Super membabitkan Kelantan menentang Negeri Sembilan, Kafa menghadapi tiga tuduhan membabitkan penonton," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat selama tiga jam di Wisma FAM di sini petang Khamis.

Kamaruddin berkata tuduhan pertama ialah penonton baling objek kepada pemain-pemain Negeri Sembilan dan pegawai perlawanan (denda RM5,000), tuduhan kedua ialah penonton membaling botol terkena pengawai perlawanan (denda RM10,000) dan tuduhan ketiga ialah penonton membaling botol dan kayu kepada bas pasukan Negeri Sembilan (denda RM25,000).

Kamaruddin berkata selain itu Kafa juga diarahkan untuk menjelaskan tuntutan ganti rugi daripada pemilik bas berkenaan akibat kerosakan yang berjumlah RM19,770.

"Manakala bagi kes Selasa lepas juga ketika menentang Negeri Sembilan pada saingan separuh akhir Piala FA, penonton tuan rumah telah dituduh merosakkan pintu stadium, cermin kenderaan, terbalikkan kenderaan polis dan membakar kereta polis menyebabkan Kafa didenda RM50,000," katanya.

Beliau berkata Kafa juga terpaksa menanggung segala kerosakan yang telah berlaku di luar stadium.

Pada perlawanan itu, Kelantan tewas 0-1 kepada pelawat sekaligus menyaksikan para penonton bertindak merusuh di luar stadium menyebabkan 10 kenderaan dirosakkan antaranya sebuah kenderaan pacuan roda milik polis dibakar.

"Bagaimanapun bagi segala denda dan larangan yang dikenakan, Kafa dibenarkan untuk membuat rayuan di dalam tempoh 14 hari bermula hari ini," katanya.

Selain itu, jawatankuasa terbabit turut mengambil tindakan keras apabila memutuskan pasukan Kelantan yang diberi gelaran Wira Merah itu tidak dibenarkan lagi bermain di Stadium Sultan Mohamad IV sehingga 31 Dis tahun ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata larangan itu adalah merangkumi semua perlawanan yang mendapat pengiktirafan daripada badan induk bola sepak kebangsaan itu seperti perlawanan Piala Malaysia dan Piala Emas Raja-Raja.

"Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Che Mat Jusoh akan memutuskan stadium lain akan digunakan oleh Kelantan sebagai tuan rumah," katanya.

JKPT semalam telah bertindak awal apabila memutuskan perlawanan Liga Super Sabtu ini membabitkan Kelantan dan Selangor diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan Kelantan bertindak selaku tuan rumah.

Azzuddin turut mengesahkan jawantankuasa tatatertib FAM akan memanggil penjaga gol Kelantan, Halim Napi dalam masa terdekat manakala kes membabitkan presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa akan dianalisis terlebih dahulu.-- BERNAMA

Thursday, April 9, 2009

Apabila Nik Aziz Bersuara

Tuan Guru Nik Aziz menyatakan kekesalannya terhadap rusuhan yang berlaku di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam kelmarin.

"SAYA sangat dukacita dan malu dengan rakyat Kelantan," Begitulah keluhan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
Beliau berkata, tindakan yang dilakukan itu menunjukkan penyokong Kelantan tidak mempunyai semangat kesukanan yang tinggi.

"Insiden itu tidak sepatutnya berlaku di negeri ini yang diberi gelaran yang cukup baik termasuk 'bumi tadahan wahyu' yang seolah tidak seiring dengan perangai rakyatnya," katanya
Tuan Guru juga menyatakan kekesalannya terhadap penyokong yang bertindak kasar terhadap anggota polis yang bertugas.

"Penyokong Kelantan tidak sepatutnya melakukan sebegitu rupa kepada anggota polis yang bertugas mengawal keselamatan," ujarnya.
Tuan Guru berharap kejadian tersebut tidak berulang lagi.
gambar dari KOSMO