Custom Search

Wednesday, April 1, 2009

Agong perkenan Najib PM keenam

Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri Malaysia keenam di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin Jumaat ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata Seri Paduka telah memperkenankan majlis pelantikan Najib itu yang akan diadakan di Istana Negara pada jam 10 pagi.

Najib, yang kini timbalan perdana menteri, telah dipilih menjadi presiden Umno dalam perhimpunan agung parti itu minggu lalu.

Menurut Najib,beliau akan mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara esok untuk menyatakan hasrat melepaskan jawatan sebagai perdana menteri, lapor Bernama

"Jika mendapat perkenan Tuanku, Jumaat ialah harinya (beliau mengambil alih jawatan perdana menteri)," kata Najib.

Sementara itu, beliau enggan memberikan sebarang komen mengenai ramalan penganalisis politik bahawa barisan Kabinet baru nanti adalah lebih kecil daripada barisan sedia ada.

"Bolehkah kita tunggu masa yang lebih sesuai? Saya tidak mahu bercakap mengenai semua benda sekarang," katanya.

Ketika ditanya mengenai suasana pada mesyuarat kabinet hari ini yang dipengerusikan oleh Abdullah, Najib berkata perdana menteri bersikap sangat terbuka dan memberikan jaminan bahawa beliau sentiasa bersedia menghulurkan panduan dan nasihat sekiranya diperlukan."Beliau tidak akan mencampuri atau mengkritik pentadbiran baru, tetapi akan sentiasa berada di belakang kami. Saya sangat menghargai pendirian beliau dan InsyaAllah, saya yakin Pak Lah sangat positif terhadap apa yang dilakukan," katanya.

Tanggungjawab besar

Najib berkata, beliau insaf bahawa pelantikannya sebagai perdana menteri merupakan satu tanggungjawab besar dan mandat yang perlu dilaksanakan sebaik mungkin supaya keyakinan rakyat terhadap kerajaan tidak tergugat.

Beliau menyatakan demikian ketika diminta mengulas mengenai perasaannya yang bakal memegang jawatan Perdana Menteri.

"Saya amat insaf bahawa ini satu tanggungjawab...satu penghormatan yang amat besar.

"Tapi lebih penting daripada itu, saya membawa satu perasaan keinsafan yang amat mendalam dan tawaduk bahawasanya ini bukan satu status, bukan soal kuasa tapi soal tanggungjawab...(dan) harapan yang diberi oleh rakyat amat besar," kata timbalan perdana menteri.

Katanya beliau perlu melaksanakan yang terbaik supaya rakyat yakin yang kerajaan bawah pimpinan beliau kelak merupakan sebuah kerajaan yang berkhidmat untuk rakyat dan yang boleh mereka bergantung harap kerana faham akan kehendak mereka.

No comments:

Post a Comment