Custom Search

Wednesday, April 8, 2009

Polis Cedera Ditikam Dan Digigit Penagih Dadah

KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Seorang pegawai polis cedera apabila ditikam dan digigit seorang penagih dadah dalam satu operasi membanteras penagih dan pengedaran dadah di Jalan Chow Kit di sini, awal pagi semalam.

Insp Luther Nurjib, 28, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi cedera ditikam di lengan kanan dan digigit di ibu jari tangannya dalam kejadian pada pukul 1 pagi itu.

Akibat kecederaan itu, Luther menerima dua jahitan dan terpaksa menjalani saringan ujian HIV kerana dikhuatiri lelaki yang menggigitnya menghidap HIV/AIDS.

Kejadian itu berlaku ketika Luther bersama seorang lagi pegawai juga berpangkat Inspektor dan enam anggota yang melakukan Operasi Tapis memasuki kawasan itu dan menghampiri sekumpulan penagih yang sedang leka menghisap dadah di lorong belakang jalan itu.

"Seorang daripada penagih terbabit menyedari kehadiran polis menyebabkan mereka berpecah untuk melarikan diri dan kami juga berpecah untuk mengejar mereka," kata Luther ketika ditemui di IPD Dang Wangi di sini hari ini.Luther berkata beliau dapat menangkap lelaki yang dikejarnya itu dan ketika cuba menggari suspek, lelaki berusia dalam lingkungan 40-an itu mengeluarkan pisau lipat dari dalam poket seluarnya lalu cuba menikam beliau.

"Tikaman itu mengenai lengan kanan saya dan suspek turut menggigit ibu jari saya," katanya.Beliau berkata hasil pemeriksaan terhadap lelaki itu, polis menemui tiga paket dadah jenis heroin seberat 5.6 gram.

"Suspek baru sebulan keluar dari penjara," katanya.-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment