Custom Search

Friday, April 10, 2009

FAM Denda Kafa RM90,000 Kerana Insiden Buruk

PETALING JAYA, 9 April (Bernama) -- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mendenda Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sebanyak RM90,000 berikutan insiden buruk semasa perlawanan Kelantan menentang Negeri Sembilan pada 31 Mac dan Selasa lepas di Stadium Sultan Mohamad IV di Kota Baharu.

Pengerusi Jawatankuasa Tatertib FAM, Kamaruddin Abdullah berkata Kafa telah dipanggil untuk menjawab dua kes berkenaan yang dikenakan ke atas mereka.

"Bagi kes pertama iaitu pada 31 Mac di mana perlawanan Liga Super membabitkan Kelantan menentang Negeri Sembilan, Kafa menghadapi tiga tuduhan membabitkan penonton," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat selama tiga jam di Wisma FAM di sini petang Khamis.

Kamaruddin berkata tuduhan pertama ialah penonton baling objek kepada pemain-pemain Negeri Sembilan dan pegawai perlawanan (denda RM5,000), tuduhan kedua ialah penonton membaling botol terkena pengawai perlawanan (denda RM10,000) dan tuduhan ketiga ialah penonton membaling botol dan kayu kepada bas pasukan Negeri Sembilan (denda RM25,000).

Kamaruddin berkata selain itu Kafa juga diarahkan untuk menjelaskan tuntutan ganti rugi daripada pemilik bas berkenaan akibat kerosakan yang berjumlah RM19,770.

"Manakala bagi kes Selasa lepas juga ketika menentang Negeri Sembilan pada saingan separuh akhir Piala FA, penonton tuan rumah telah dituduh merosakkan pintu stadium, cermin kenderaan, terbalikkan kenderaan polis dan membakar kereta polis menyebabkan Kafa didenda RM50,000," katanya.

Beliau berkata Kafa juga terpaksa menanggung segala kerosakan yang telah berlaku di luar stadium.

Pada perlawanan itu, Kelantan tewas 0-1 kepada pelawat sekaligus menyaksikan para penonton bertindak merusuh di luar stadium menyebabkan 10 kenderaan dirosakkan antaranya sebuah kenderaan pacuan roda milik polis dibakar.

"Bagaimanapun bagi segala denda dan larangan yang dikenakan, Kafa dibenarkan untuk membuat rayuan di dalam tempoh 14 hari bermula hari ini," katanya.

Selain itu, jawatankuasa terbabit turut mengambil tindakan keras apabila memutuskan pasukan Kelantan yang diberi gelaran Wira Merah itu tidak dibenarkan lagi bermain di Stadium Sultan Mohamad IV sehingga 31 Dis tahun ini.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata larangan itu adalah merangkumi semua perlawanan yang mendapat pengiktirafan daripada badan induk bola sepak kebangsaan itu seperti perlawanan Piala Malaysia dan Piala Emas Raja-Raja.

"Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM yang dipengerusikan oleh Datuk Che Mat Jusoh akan memutuskan stadium lain akan digunakan oleh Kelantan sebagai tuan rumah," katanya.

JKPT semalam telah bertindak awal apabila memutuskan perlawanan Liga Super Sabtu ini membabitkan Kelantan dan Selangor diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil dengan Kelantan bertindak selaku tuan rumah.

Azzuddin turut mengesahkan jawantankuasa tatatertib FAM akan memanggil penjaga gol Kelantan, Halim Napi dalam masa terdekat manakala kes membabitkan presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa akan dianalisis terlebih dahulu.-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment